Penanaman 26 juta pokok menjelang 2014 di negara ini mampu menyerap sekitar 200,000 tan gas karbon dioksida, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas hari ini.
Beliau berkata sejak dilancarkan pada April tahun lepas, lebih 8.5 juta pokok telah ditanam meliputi kawasan seluas 9,611 hektar.
Selain itu, Malaysia juga mengekalkan kawasan litupan hutan pada kadar 50 peratus seperti yang ditegaskan pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Jeneiro, Brazil, 19 tahun lepas, katanya ketika merasmikan projek komuniti ExxonMobil-Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memulihkan hutan di kawasan riparian di Hutan Simpan Ayer Itam, di Puchong dekat sini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha II kementerian Dr Abdul Rahim Nik. Uggah berkata sehingga 2010, jumlah keseluruhan kawasan yang dilitupi hutan di negara ini adalah 18.48 juta hektar atau 56.4 peratus daraipada kawasan tanah.
Katanya Malaysia juga negara bertuah kerana kerajaan bertegas memastikan kawasan hutan tetap terpelihara ketika negara lain mengorbankan kawasan hutan mereka untuk pembangunan.
Menyentuh program itu, Uggah berkata kementerian berbangga dengan kerjasama UPM dan ExxonMobil yang membantu kerajaan memulihara sumber semulajadi negara.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada UPM kerana berada pada ranking keenam daripada 95 universiti dunia yang menyertai penarafan GreenMetric World University Ranking 2010.
"Program hari ini membuktikan komitmen UPM untuk menghijaukan bumi bukan saja menerusi penyelidikan dan pembangunan tetapi juga menanam pokok," katanya.
Projek komuniti ExxonMobil-UPM itu yang bermula sejak 2007 bertujuan mengembalikan hutan di kawasan hutan berkenaan dengan penanaman 5,000 anak pokok.
- Petaling Jaya, 14 Mei 2011
No comments:
Post a Comment